Sunday 30 October 2011

DASAR 1MURID 1SUKAN


Dasar 1Murid 1Sukan adalah satu lagi dasar yang diberi taklimat di dalam Majlis Bersama KPM 2011 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor pada 20hb Oktober 2011 yang lalu.Saya akan memberi penerangan ringkas disini berdasarkan taklimat yang diberikan, perbincangan di majlis itu, maklumat dari brocer dan Buku panduan 1Murid 1Sukan.



Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.Ini bererti, setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.


Dasar 1Murid 1Sukan menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang berhasrat untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani (JERI) dengan:

  • Memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif,
  • Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah; dan
  • Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.
Siapakah yang wajib menyertai 1Murid 1Sukan? 
  • Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan murid-murid Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah.
  • Manakala murid Prasekolah hingga Tahun 3, digalakkan menyertai program ini derdasarkan kemempuan sekolah.
Apakah tanggungjawab murid semasa kegiatan sukan?
  • Sebelum menjalankan aktiviti, murid hendaklah melaporkan tahap kesihatan seperti masalah jantung,   asma, lelah dan lain-lain penyakit dari masa ke semasa kepada guru penasihat sukan yang berkenaan. 
  • Murid hendaklah memakai pakaian dan kasut yang sesuai sewaktu menjalani aktiviti sukan.
  • Murid hendaklah melaporkan tahap kesihatan sekiranya berlaku ketidakselesaan sewaktu menjalani aktiviti sukan.
  • Murid tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti sukan tanpa pengawasan guru.
  • Murid mesti mengikut arahan guru semasa melakukan aktiviti sukan atau permainan.
  • Murid hendaklah melaporkan segala kerosakan alatan kepada guru yang bertugas.
  • Murid hendaklah melaporkan sebarang kemalangan kepada guru penasihat yang bertugas.
Berapakah peruntukan 1Murid 1Sukan? 

Hadirin di Majlis Bersama KPM telah dimaklumkan bahwa peruntukan: 
  • Sebanyak RM 4.00 bagi setiap murid di Sekolah Rendah; dan
  • Sejumlah RM 6.00 bagi setiap murid di Sekolah Menengah akan disalurkan bagi melaksanakan dasar ini setiap tahun. 
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan 1Murid 1Sukan sila klick di sini

Pihak PIBG menyokong sepenuhnya Dasar 1Murid 1Sukan ini demi kecemerlangan pelajar.

Ikhlas Dari,
YDP PIBG

No comments:

Post a Comment