Tuesday 31 December 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2014





Kepada semua ahli dan pelawat yang dihormati sekalian,

Tahun baru 2014 kini menjelma dan membawa seribu harapan dan cabaran. Tahun 2013 telah berlalu meninggalkan  seribu kenangan  yang sukar dilupakan. Namun, kita harus bersyukur kepada Ilahi di atas segala kurniaan dan dugaan. 

Bagi kita, selaku AJK dan ahli PIBG SMK Seafield, tahun 2013 telah menjadikan kita bertambah bersatu padu dan bersemangat dalam menjayakan tuntutan Anjakan ke-9 PPPM dengan penggubalan Model Transformasi PIBG (2013-2025) serta Pelan Strategik iaitu Penerusan Transformasi PIBG SMK Seafield (2013-2015). 



Kita juga telah menambah Bidang Keberhasilan Utama (KRA) daripada empat ke lima dengan bertambahnya tanggungjawab Meningkatkan Penglibatan Ibu Bapa dalam Pembelajaran Murid. Alhamdulillah, Indikator Prestasi Utama (KPI) juga telah menunjukkan bahawa PIBG kita telah berjaya menyumbang RM 366,897 atau 96% daripada bajet 2013 untuk kecemerlangan murid-murid. PIBG juga sekali lagi telah dipilih mewakili negeri Selangor dalam pertandingan Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2013.

 



Selamat datang  ke PIBG SMK Seafield kepada ibu bapa dan murid-murid Tingkatan 1. Semoga anak-anak ahli PIBG yang baru ini akan terus berjaya dalam pelajaran dan seterusnya akan menjadi pemimpin di masa hadapan. Kami berharap juga tuan-tuan dan puan-puan akan menggunakan Sarana Ibu Bapa (SIB) sebaik mungkin sepertimana yang di taklimatkan oleh YDP PIBG pada 31 Dis. 2013. Di samping mengamalkan 4 aspek SIB, ibu bapa juga digalakkan menyumbang kepakaran untuk membantu sekolah dan turut serta dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa untuk berkongsi pengalaman dalam meningkatkan penglibatan dalam pembelajaran murid-murid.

Kami, AJK PIBG ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua individu dan organisasi di atas segala bantuan dan sokongan kepada PIBG sepanjang 2013. Terimalah sekuntum mawar merah sebagai tanda penghargaan kami kepada tuan puan sekalian. Semoga dengan kerjasama tuan puan yang berterusan serta sokongan daripada seluruh ahli sedia ada dan baru, kita akan menempa sejarah pada tahun 2014, insyaAllah.

Selamat mencipta kegemilangan kepada ahli dan pelawat sekalian.

Salam,
AJK PIBG SMK Seafield